SYIRIK adalah perkataan yang berasal daripada kalimah arab. Kata asalnya dalam bahasa arab ( شَرِكَ - يَشْرَكُ - شِرْك ) yang bererti sekutu/menyamai. Atau dalam ertikata yang lain, menyekutukan Allah atau menyamakan Allah dengan selain-Nya. Syirik pula ada dua jenis; yang nyata (JALI) dan yang tersembunyi (KHAFI).
SYIRIK JALI ialah syirik yang jelas mata lahir melihatnya mempersekutukan Allah. Contohnya, sembah berhala, menduakan Tuhan, dan lain-lain seumpanya. Manakala SYIRIK KHAFI ialah, amalan-amalan hati yang berkait dengan amalan-amalan lahir. Contoh, bersedekah itu kebajikan dan kebaikan namun niatnya bukan kerana Allah. Buat kebaikan kerana menunjuk-nunjuk, bukan lagi kerana Tuhan.
Hampir mustahil bagi kita terlepas dari melakukan kesalahan-kesalahan SYIRIK KHAFI (syirik yang tersembunyi). Kalau melakukan kesalahan-kesalahan SYIRIK JALI, iaitu yang nyata semua manusia dapat melihatnya. Namun tak sama dengan amalan-amalan SYIRIK KHAFI, kerana ianya tersembunyi di dalam hati pelakunya. Melakukan SYIRIK KHAFI adalah dosa kecil, namun jika terus mengekalkannya maka menjadi dosa besar. Jadi SYIRIK KHAFI yang dikekalkan lama-kelamaan tarafnya sama dengan SYIRIK JALI iaitu dosa besar.
Sabda Nabi s.a.w.,
“Adakah kamu mahu aku memberitahu kamu tentang satu perkara yang aku takuti ke atas kamu lebih daripada dajjal? Mereka menjawab: Sudah tentu wahai Rasulullah! Baginda pun berkata: “Syirik Khafi, iaitu seorang lelaki bangun bersembahyang lalu dia memperelokkan sembahyangnya kerana ada orang memerhatikannya (bukan kerana Allah).” Riwayat Ibnu Majah.
Hampir mustahil dari menghindari SYIRIK KHAFI. Tidak ada celah dan ruang manusia berlepas diri dari kesalahan dan dosa, kemungkaran dan kesesatan yang berbentuk SYIRIK KHAFI ini. Contoh-contoh amalan, fikiran dan perasaan yang boleh jatuh hukum SYIRIK KHAFI:
Selepas melakukan ibadah merasakan ibadahnya sempurna.
Bila berjuang rasa berbuat, terasa memiliki dan bila melihat hasilnya berjaya rasa bangga, bila gagal kecewa.
Di dalam hati merasa, “Kalau aku tak berjuang kamu tak dapat menikmati hasil perjuangan tersebut.”
Amalan-amalanya atau kerjanya dirasakan semua datang daripada dirinya.
Rasa-rasa yang terus bermain di dalam hati tiada siapa yang nampak dan boleh menolongnya, sedangkan masa itu dia perlu diselamatkan.
Kesalahan SYIRIK KHAFI, kalau ada yang tahu bagaimana nak menolong kita dari menghidarinya, tapi kita sendiri tak nampak atau tak rasa pun melakukannya, sudah tentu kita takkan bersedia atau menerima teguran atau pembetulan yang nak dibuat pada diri kita.
Orang yang nak terjatuh dalam gaung, nak bunuh diri terjun dari bangunan tinggi, orang ramai boleh tolong membantu sebab ramai yang dapat melihatnya dalam bahaya. Bagi yang nak jatuh ke dalam gaung mazmumah, atau masuk ke dalam perangkap nafsu dan syaitan, orang ramai tak boleh tolong. Maka disinilah kita sangat rasakan betapa kita perlukan Guru Mursyid yang faham bagaimana nak membantu kita menghadapi bahaya syirik khafi ini.
Orang-orang soleh itu, selepas melakukan ibadah rasa sangat sedih dan takut kerana risau ibadah yang dilakukannya rosak dengan SYIRIK KHAFI ini. Rasa-rasa ini bermain di dalam hati mereka, takut-takut semua ibadah yang dibuat rupa-rupanya ada lintasan yang datang, bukan kerana Allah tetapi kerana selainnya.
0 comments:
Post a Comment