Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
4 CARA MERAIH SYAFAAT RASULULLAH SAW
Bulan Rabiul Awal, bulan kelahiran Baginda Rasulullah Muhammad SAW sudah meninggalkan kita. Bulan untuk kita mengingatkan rasa kecintaan kita kepada Rasulullah SAW. Meskipun kecintaan tersebut tidaklah semestinya dilakukan hanya pada bulan Rabiul Awal. Setidaknya kita diingatkan untuk mengenang jasa dan pengorbanan serta perjuangan Nabi SAW untuk menyebarkan Islam di atas muka bumi Allah SWT ini.
Pada TAZKIRAH hari ini akan menjelaskan sedikit cara bagaimana untuk mendapatkan Syafaat Rasulullah serta diakui sebagai umatnya nanti pada hari kiamat.
Untuk itu kita berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk melayakkan diri kita meraih syafaat Rasulullah SAW. Adapun cara untuk meraih syafaat tersebut di antaranya adalah:
1. Menegakkan Risalah Islam Yang Di bawa Oleh Rasulullah SAW.
Allah SWT mengutus Muhammad SAW sebagai pembawa Risalah Islam di akhir zaman. Dan Islam adalah satu-satunya agama yang diterima di sisi Allah SWT. Firman Allah SWT dalam al-Qur'an dalam Surah Ali-Imran, ayat 85
(وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ)
bermaksud:
َ
"Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi".
2. Mengikuti Sunnahnya Serta Meneladani Akhlak Dan Peribadinya.
Untuk mendapatkan syafaat Rasulullah SAW, maka kehidupan seorang muslim wajib mencontohi dan meneladani akhlak dan keperibadian Rasulullah yang agung. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Ahzab, ayat 21
(لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا)
bermaksud:
"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah SWT dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)".
Juga dalam Firman Allah SWT dalam Surah Al-Qalam, ayat 4
(وَإِنَّكَ لَعَلَىٰ خُلُقٍ عَظِيمٍ)
bermaksud:
ٍ
"Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia".
3. Memperbanyakkan Shalawat Ke atas Nabi Muhammad SAW.
Orang yang mengaku cinta kepada Rasulullah SAW dan mengharapkan syafaatnya, maka akan banyak bershalawat kepadanya. Dalam hal ini, Allah SWT berfirman dalam al-Qur'an dalam surah al-Ahzab ayat 56
(إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا)
bermaksud:
“Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikatNya bershalawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang beriman, bershalawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.”
Dalam satu riwayat hadith Riwayat Imam Muslim, Rasulullah صلي الله عليه وسلم bersabda yg bermaksud:
“Barangsiapa bershalawat kepadaku satu kali, Allah akan bershalawat kepadanya sepuluh kali.” [HR. Muslim]
4. Mencintai Nabinya, Ahli Baitnya (Keluarganya) Serta Sahabat-sahabatnya.
Kecintaan kepada Rasulullah bukan sahaja kepada Rasulullah seorang, akan tetapi kecintaan tersebut termasuk kepada ahli keluarganya serta para sahabatnya. Rasulullah SAW bersabda dalam hadis riwayat Al Hakim berasal dari Zaid bin Arqam r.a., yang bermaksud:
".. Mereka (ahlul bait) adalah keturunanku, dicipta dari darah dagingku dan dikurniai pengertian serta pengetahuanku. Celakalah orang dari umatku yang mendustakan keutamaan mereka dan memutuskan hubungan denganku melalui (pemutusan hubungan dengan) mereka. Kepada orang-orang seperti ini, Allah SWT tidak akan menurunkan syafaatku (pertolonganku)". (HR al-Hakim).
Juga dalam hadith daripada Al Baraa’ bin ‘Aazib radhiyallaahu ‘anhu beliau berkata, bahawasanya Rasulullaah shallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda yang bermaksud:
“Tidaklah seseorang itu mencintai kaum Anshar melainkan dia adalah seorang mukmin, dan tidaklah membenci mereka kecuali melainkan ia adalah orang munafik.” (HR. Bukhari).
Ya Allah kurniakanlah kepada kami rasa kecintaan kepada Rasulullah SAW, Nabi akhir zaman yang memberi jalan petunjuk kebenaran kepada kami. Jadikan kami ya Allah untuk dapat mengikuti ajarannya dan Sunnahnya dalam hidup kami. Mudah-Mudahan kami tergolong sebagai umatnya yang layak mendapatkan syafaatnya nanti pada hari kiamat. Aamiinn Ya Robbal 'Aalamiin !!!!!
Wallahu A'lam
Panjang-panjangkan pada sahabat lain walau sepotong ayat walaupun hanya sekilas pandang….
Jazakumullahu khairanjaza’..
Doakan istiqamah serta Sehat wal Afiat.
Wassalam
0 comments:
Post a Comment