PEMIMPIN VS. KETUA

Kita renung2kan  beersama.....

Banyak orang boleh menjadi ketua, tetapi tidak ramai yang mampu menjadi pemimpin. Apakah perbezaan antara ketua dengan pemimpin? Ada sembilan perkara yang membezakan antara seorang ketua dengan seorang pemimpin.

Pertama, seorang ketua dia ialah "pendesak" ; yang hanya tahu menyampaikan maksud dan tujuannya tanpa mengambil kira keadaan orang yang didesaknya.

Yang difikirkannya berapa banyak yang boleh dia dapat manfaat daripada orang sekelilingnya, bukan berapa banyak manfaat yang mampu diberikannya.

Tetapi, seorang pemimpin dia menjadi ‘pemberi inspirasi’ kepada orang. Mendahului kawalan emosi; dengan memberikan sebanyak mungkin kasih sayang dan menanamkan kepercayaan orang sekeliling terhadap dirinya.

Dia mempercayai dengan kasih sayang dapat menyelesaikan semua masalah, kerana orang akan mendengar kata atau nasihat orang yang disayanginya sahaja.

Kedua, seorang ketua dia ialah seorang yang ‘mahukan penghormatan’, tetapi seorang pemimpin dia ‘mendapatkan penghormatan’.

Apakah perbezaannya antara ‘mahukan penghormatan’ dengan ‘mendapat penghormatan’.

Orang yang sentiasa berasa dirinya penting ialah orang yang mengharapkan atau ‘mahukan penghormatan’ dan dia tidak perlu berusaha mendapatkan penghormatan itu, kerana dia berasa itu haknya sebagai ketua.

Dia akan marah jika orang tidak menghormatinya dan tidak tahu dia sebagai ketua.

Tetapi, pemimpin ialah orang yang ‘mendapatkan penghormatan’. Dia akan berusaha berbuat sesuatu yang bermanfaat kepada orang sekelilingnya dengan ikhlas, dan menerima hakikat penghormatan itu bukan hak hakikinya.

Dia tidak mengharapkan penghormatan dan yang diharapkannya ialah reda Allah. Sekiranya dia berjaya ‘mendapat penghormatan’, itu satu respons positif yang diperolehnya hasil daripada tindakan positifnya. Fikiran positif – emosi positif – tindakan positif – respons positif – hasil kehidupan positif ( formula ‘Reset Minda’ ).

Ketiga, seorang ketua, apabila membuat sesuatu kerja dia suka mengatakan ‘saya’, tetapi seorang pemimpin dia akan mengatakan ‘kami’/ 'kita’. Seorang ketua akan berfikir bahawa dia orang nombor satu dan sesuatu yang diusahakan itu berjaya kerana kehebatan dan usaha gigih dirinya (‘saya’).

Tetapi, seorang pemimpin, dia lebih suka mengambil konsep kebersamaan. Kejayaan sesuatu usaha itu adalah kerana adanya sikap bantu membantu dan kerjasama antara dirinya dengan orang sekelilingnya.

Keempat, seorang ketua, dia akan ‘menakutkan orang/menimbulkan rasa takut orang sekeliling terhadap sesuatu perkara’, tetapi seorang pemimpin ‘menjadikan inspirasi untuk mewujudkan semangat yang bergelora dan minat yang mendalam’. Seorang ketua, dia suka orang takut kepadanya. Dia akan menggunakan kuasanya menggertak atau mengugut orang, akan memberikan hukuman dan menarik segala hak yang patut diperoleh orang sekelilingnya, jika enggan patuh kepada arahannya.

Keprihatinan

Tetapi, seorang pemimpin dia memudahkan, membahagiakan orang dan membangkitkan semangat orang sekelilingnya. Memandang orang bukan sahaja dengan pandangan mata akal, tetapi menggunakan mata hati. Keprihatinannya amat tinggi; sedih melihat orang sedih dan bahagia melihat orang bahagia.

Kelima, seorang ketua, ‘meletakkan salah kepada orang lain’, tetapi seorang pemimpin dia ‘memikul kesalahan’. Seorang ketua suka menyalahkan dan mencari kesalahan. Tidak suka melakukan refleksi diri sendiri atau muhasabah diri, tetapi suka menunjukkan kesalahan orang lain yang menyebabkan sesuatu kegagalan.

Tetapi, seorang pemimpin dia akan mengambil tanggungjawab dan sanggup mengambil risiko memikul kesalahan di atas bahunya sendiri.

Keenam, seorang ketua ‘menggunakan orang/staf’, tetapi seorang pemimpin ‘membangunkan orang lain, (membina bakat/kepakaran)’. Menggunakan orang (memerah tenaga/mental/fizikal) secara maksimum untuk mendapatkan hasil/keuntungan yang maksimum tanpa memikirkan kebajikan orang, itulah sikap seorang ketua. Sebaliknya seorang pemimpin, memberikan peluang kepada orang membina kepakaran dan m
enambahkan kemahirannya, dengan memberikan peluang menambahkan ilmu, serta memberi­kan latihan kemahiran dan kepakaran.

Ketujuh, seorang ketua hanya mahu ‘menerima penghargaan/pujian’, tetapi pemimpin suka ‘memberikan penghargaan/pujian’. Seorang ketua, suka mengungkit kesilapan orang berkali-kali hingga tidak nampak langsung kebaikan orang kepadanya.

Apabila orang melakukan kebaikan, berat mulutnya untuk memuji dan berterima kasih, tetapi dia sendiri sentiasa mengharapkan orang memuji, memberi penghargaan, dan menyebut serta mengenang kebaikannya. Sebaliknya, seorang pemimpin, dia yang memberikan penghargaan dan memuji. Sangat baik hati dan pemurah hati untuk memberikan sesuatu kepada orang sebagai tanda dia berterima kasih dan mengenang serta menghargai jasa baik orang kepadanya.

Kelapan, seorang ketua hanya tahu ‘mengarah membuat kerja’, tetapi seorang pemimpin suka ‘mengajak melakukan kerja’. Kata-kata kesukaan seorang ketua biasanya yang berupa arahan, contohnya “pergi buat kerja…” (lebih kepada arahan dan paksaan) tanpa mengambil tahu sama ada orang itu boleh/sanggup/suka melakukannya.

Sebaliknya seorang pemimpin lebih suka menggunakan kata-kata yang membawa makna mengajak melakukan bersama, contohnya “jom/mari buat kerja…” Dia akan bertanya kepada orang dahulu, adakah orang itu bersedia/berupaya/tidak beban untuk melakukannya? (Lebih mengharapkan sikap sukarela dan keikhlasan orang melakukannya).

Kesembilan, sikap seorang ketua dia suka ‘meminta penyelesaian’, tetapi pemimpin ‘mencari penyelesaian’. Apabila berhadapan dengan masalah, seorang ketua akan sibuk mencari siapa yang menjadi punca masalah, serta banyak menghabiskan masa dan tenaga memikirkan bagaimana perkara tersebut boleh terjadi; siapa yang silap, kelemahan siapa?

Mudah patah semangat dan tidak dapat mengawal emosi negatifnya hingga tidak mahu bertanggungjawab dan meminta orang selesaikan masalah itu. Takut untuk berhadapan dengan masa hadapan kerana asyik dibayangi oleh kegagalan masa silam.

Sebaliknya seorang pemimpin, apabila berhadapan dengan masalah, dia cepat mencari jalan penyelesaian. Setiap masalah dia anggap sebagai dugaan/ujian/cabaran daripada Allah dan dipandang sebagai satu ‘peluang’ untuk mencipta kejayaan setelah kegagalan. Masalah dipandangnya sebagai ‘batu loncatan’ bukan ‘batu halangan’ untuk dia memacu kejayaan yang lebih baik.

Jadilah seorang ‘pemimpin’ bukan seorang ‘ketua’. Tidak kiralah apa pun posisi kita sebagai pemimpin (sama ada sebagai suami, ayah, ibu, atau ketua dalam satu-satu jabatan, organisasi, atau negara), jadilah pemimpin yang dapat memberikan manfaat kepada orang sekeliling kita.

Amalkan sikap; mempermudahkan urusan bukan menyusahkan urusan dengan orang sekeliling.

INGATAN UTK DIRI SAYA YG TERKADANG ALPA INI, MAAFKAN SAYA

Wallahu A'alam...
Worry Less but Smile More
Don't Regret but Just Learn n Grow

0 comments:

Post a Comment